Teks & Foto oleh Haswari Ali
KUALA LUMPUR, 15 JAN 2008: Kekejaman puak Israel terhadap masyarakat Islam di Selatan Gaza turut mendapat perhatian penyanyi tersohor negara, Dato’ Siti Nurhaliza yang begitu sedih dengan pencerobohan serta pembunuhan rakyat yang tidak berdosa.
Bukan saja menyokong saranan kerajaan untuk memboikot produk atau jenama dari Amerika Syarikat (AS) yang disalurkan kepada regim Yahudi itu, malahan penyanyi yang baru lahir dengan album Lentera Timur itu turut mengharapkan agar peminatnya dapat memberikan maklum balas serupa.
“Memang sekarang Siti tengah boikot produk Amerika Syarikat. Dulu Siti selalu juga minum di Starbucks atau makan di McDonald’s, tapi sekarang tidak lagi. Siti dah mula memboikot produk mereka.
“Sebenarnya Siti tak sanggup melihat kekejaman mereka. Siti selalu baca menerusi surat khabar dan saksikannya di TV. Melihat kanak-kanak kecil dan nyawa yang tidak berdosa dibunuh, itu adalah terlalu kejam.
“Siti tak sanggup. Dalam hati Siti selalu berdoa, Ya Allah.. Kau turunkanlah bala kepada Israel. Itulah yang dapat Siti mampu lakukan. Jadi sama-samalah kita berdoa, semoga rakyat Palestin akan dilindungi,” katanya.
Siti berkata demikian kepada pihak media, selepas pelancaran Lentera Timur di Dewan Tun Rahah, Menara Yayasan Tun Razak, di sini petang semalam yang turut dihadiri suami tercinta, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa (Datuk K), ibu bapa dan keluarga terdekat.
Hadir sama komposer dan penulis lagu yang turut terbabit dalam penerbitan album ini antaranya, Habsah Hassan, M Nasir, Fauzi Marzuki, Pak Ngah, Kahiril Johari Johar dan Zubir Ali.
Beliau turut menyampaikan sumbangan derma berbentuk wang tunai kepada akhbar Berita Harian dan Utusan Malaysia yang mewaikili syarikatnya, Siti Nurhaliza Production (M) Sdn Bhd (SNP) bagi membantu mangsa perang terbabit.
Jelasnya, tindakan memboikot yang dilakukannya itu adalah salah satu cara terbaik untuk menunjukkan keprihatinan rakyat negara muslim terhadap jenayah terbesar Israel.
Difahamkan, selain sumbangan daripada syarikatnya itu, Siti dan Datuk K turut sama menghulurkan bantuan kewangan secara peribadi kepada mangsa peperangan itu.
“SNP sudah asingkan agihann ini. Kami memang mempunyai tabung untuk tujuan kebajikan. Malah Siti tidak akan menolak kalau ada persembahan amal bagi membantu rakyat Palestin,” katanya .
Lentera Timur selit live strings
Sejak dipasarkan, hujung tahun lalu, album kontemporari tradisional Siti, Lentera Timur telah berjaya mengutip angka jualan 10,000 unit.
Jauh disudut hati, Siti ingin memastikan agar album itu boleh dijual lebih banyak meskipun sedar kegawatan ekonomi dan gangguan pasaran muzik global sedang berlaku.
“Siti percaya, dalam masa 6 bulan pasti Siti akan dapat mencapainya. Bagi Siti kelahiran album ini pada masa yang sama dapat merancakkan kembali industri muzik tempatan. Siti tahu untuk capai jumlah 100,000 unit macam dulu bukan senang,” ujarnya.
Untuk mencapai impiannya itu, dia akan membuat banyak promosi di stesen radio, TV dan media cetak. Malah, Siti sendiri begitu teruja untuk sama-sama turun padang untuk bertemu peminat setianya yang selama ini telah banyak menyokong kejayaannya tanpa jemu.
“Untuk album ini, Siti akan kerap membuat kemunculan di khalayak umum. Mungkin persetujuan bersama Jaya Jusco adalah langkah paling terbaik untuk bertemu mereka dan memprosikan album inii,” katanya.
Sebanyak 9 buah lagu yang dimuatkan dalam Lentera Timur adalah hasil daripada komitmen para penerbit menerusi bengkel Cipta Ekspres MACP-Berirama Malaysia Bersama Siti Nurhaliza yang diadakan di Port Dickson, Januari tahun lalu.
Kualitinya menjadi keutamaan dalam semua aspek penerbitan album ini termasuk menggunakan live strings bagi semua lagu.
“Memang Siti sangat berpuas hati dengan penghasilannya yang terbaik untuk album ini. Begitu juga dengan kualiti kulit album dan rekaan kulit album ini. Kos untuk menghasilkan album sepenuhnya dengan live strings mencecah RM100,000. Tapi tak apa, selagi Siti berdaya, Siti akan jaga kualiti album Siti. Ia juga untuk kepuasan peminat.
“Mungkin selepas ini Siti akan lahirkan sebuah album dengan iringan muzik orkestra pula,” katanya.
Idam konsert besar tahun ini
Menyedari dirinya masih dihargai, Siti berharap agar 2009 memberikan sinar untuknya meneruskan hasrat bagi melangsungkan sebuah konsert terbesar.
“Ya, sebuah konsert besar seperti yang pernah Siti buat dulu. Kalau boleh Siti mahu lebih ramai penonton dapat datang menyaksikannya. Bagaimanapun semuanya itu masih dalam perbincangan.
“Siti mahu pastikan konsert itu berjaya, sebagaimana konsert Siti yang lepas-lepas. Siti sudah memikirkan lokasinya, tetapi masih belum dipastikan lagi. Semuanya masih dalam kertas kerja,” katanya yang semakin anggun dan langsing.
Murai
Isnin, 19 Januari 2009
Siti Turut Boikot Produk AS, Kecam Israel
Hati Siti Mudah Tersentuh
Oleh Farihad Shalla Mahmud
farihad@bharian.com.my
Sedih bukan kerana gosip, tetapi melihat budak kecil jadi mangsa kekejaman Israel
HATI kecilnya begitu mudah tersentuh sejak kebelakangan ini. Bukan kerana gosip keretakan rumah tangganya tetapi kesedihannya itu berpunca apabila melihat serta mengenangkan sikap manusia ketika ini yang lebih kejam dari binatang.
Melihat wajah si isteri yang kehilangan suami, ibu kematian anak dan kanak-kanak kecil yang tidak berdosa menangis ketakutan dan kebingungan menjadi mangsa bedilan bom dan peluru tidak bermata gara-gara kekejaman tentera Israel di Semenanjung Gaza, membuatkan perasaan penyanyi tersohor, Datuk Siti Nurhaliza semakin dibuai pilu.
“Memang setiap hari saya mengikuti perkembangan penduduk Palestin yang menderita di Semenanjung Gaza menerusi berita dilaporkan media cetak dan elektronik. Tidak dapat dinafikan setiap kali melihat wajah kanak-kanak yang tidak berdosa itu menjadi mangsa, Siti sedih sangat sehinggakan Siti berdoa semoga Tuhan turunkan bala buat tentera Israel itu sebagai balasan atas kekejaman mereka itu,” ujar Siti yang baru saja menyambut ulang tahunnya yang ke 30, pada 11 Januari lalu.
Nyata, keprihatinan Siti terhadap isu itu bukanlah sekadar ikut-ikutan semata-mata tetapi penyanyi berdagu lekuk ini membuktikannya dengan menyokong usaha kerajaan memboikot produk Amerika Syarikat yang didapati menyalurkan bantuan kewangan kepada tentera Israel.
“Macam Siti sendiri, Siti turut memulaukan beberapa barangan yang sebelum ini Siti gunakan dalam kehidupan seharian. Dan kesempatan ini Siti ingin menyeru kepada rakan artis di luar sana untuk sama-sama membantu usaha ini.
“Siti percaya, jika semua umat Islam di seluruh dunia bersatu untuk memboikot barangan terbabit, tentera Israel akan merasai kesannya,” kata Siti bersungguh-sungguh.
Jelas Siti lagi, usahanya itu tidak akan berhenti setakat itu. Katanya lagi, dia juga akan terbabit dalam sebuah majlis amal yang akan di adakan di Istana Budaya, 31 Januari ini bagi mengutip tabung untuk membantu mangsa kekejaman di bumi Palestin itu.
“Projek ini adalah naungan isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan saya harap akan lebih ramai lagi rakan artis menyokong projek ini. Membantu rakyat Palestin bukan saja dari segi pemberian wang ringgit tetapi mereka boleh membabitkan diri dalam persembahan amal bagi mengutip dana,” katanya.
Siti yang anggun dengan busana mewah rona hijau, hitam rekaan Amir Luqman itu ditemui pada majlis pelancaran album album kontemporari tradisionalnya, Lentera Timur di Dewan Besar Tun Rahah, Menara Yayasan Tun Razak, Jalan Bukit Bintang, Rabu lalu.
Sebagai tanda prihatinnya juga, Siti menerusi syarikatnya, Siti Nurhaliza Productions (M) Sdn Bhd (SNP) menyumbangkan RM2,000 untuk Tabung NSTP Untuk Gaza kelolaan The New Strait Times Press (M) Bhd (NSTP).
Penolong Pengarang Hiburan Berita Harian, Zainuri Misfar menerima sumbangan berkenaan mewakili kumpulan NSTP.
“Setiap tahun syarikat Siti memang ada peruntukan sejumlah wang untuk membantu mereka yang memerlukan. Walaupun jumlahnya mungkin tak seberapa tapi syarikat ikhlas memberikannya.
“Mungkin selepas ini Siti dan suami juga akan menderma secara peribadi iaitu menerusi yayasan kami iaitu Yayasan Nur Jiwa nanti,”katanya.
Sanggup turun padang demi Lentera Timur
BARANGKALI tentu ada suara nakal yang akan mempertikaikan kenyataan penyanyi terkenal ini sanggup turun padang terutama di luar bandar semata-mata ingin mempromosikan album Lentera Timur.
Iyalah, mana mungkin Siti yang kini sudah berada di tahap diva masih ingin membuat persembahan seperti itu.
Bagaimanapun, menurut si empunya diri, dia tidak kisah untuk berbuat demikian asalkan buah tangan terbarunya itu berjaya mendapat sambutan.
“Mungkin Siti boleh bekerjasama dengan Jaya Jusco dalam soal ini. Lagipun tak salah rasanya untuk Siti berbuat demikian kerana inilah juga kesempatan Siti untuk bertemu peminat Siti yang sebelum ini begitu sukar untuk berjumpa Siti.
“Dalam keadaan pasaran album yang kurang memberangsangkan ini, Siti kena fikir banyak perkara dan andai benda itu mampu menarik minat pembeli, tak mustahil untuk Siti lakukannya,” kata Siti yang mensasarkan jualan Lentera Timur sebanyak 100,000 unit dalam tempoh enam bulan.
Album terbitan SNP dan edaran Suria Records ini turut menampilkan lagu seperti Di Kayangan Kita (Johari Teh/Keon), Bintang Malam (Johan Nawawi/Amran Omar) Ada Masa Mata (M.Nasir/Ad Samad), Bulan Yang
Mesra (Khairil Johari Johar/Zubir Ali), Seloka Budi (Adnan Abu Hassan/Azam Dungun), Rasa Antara Kita (Khairil Johari Johar/ Zubir Ali),
Senyum Minang Manis (Zul Mahat/Abot), Joget Menanti Kasih (S.Atan/Habsah Hassan) dan Di Taman Teman ( Fauzi Marzuki/Hairul Anuar Harun).Dua lagi lagu yang dipilih ialah Jelmakanlah Ayumu (Pak Ngah) dan Cinta ini, ciptaan penyanyi dan komposer Indonesia Katon Bagaskara.
“Adalah menjadi impian Siti untuk menghimpunkan nama besar dalam album ini dan Alhamdulillah impian itu menjadi kenyataan dalam Lentera Timur.
“Siti juga berpuas hati dengan apa yang mereka hasilkan dan yang lebih membanggakan sembilan lagu dari album ini adalah ciptaan komposer dan penulis lirik terkenal tanah air menerusi bengkel Cipta Ekspres MACP-Berirama Malaysia bersama Siti Nurhaliza, Januari lalu,”cerita Siti lagi.
Ditanya apakah usahanya bagi memastikan lagunya itu disiarkan di stesen radio tempatan yang diketahui sejak kebelakangan ini tidak lagi memutarkan lagu berirama tradisional, Siti berkata dia sudah pun menyusun strategi bagi berdepan dengan perkara itu.
“Album ini berbeza dengan album tradisional Siti sebelum ini. Ia berkonsepkan tradisional kontemporari dan kebanyakan lagunya mempunyai sentuhan pelbagai. Walaupun melodinya berkonsepkan tradisional tetapi susunan muziknya tetap ada sentuhan moden,” kata Siti yang menggunakan “live strings” dalam album ini.
Berita Harian
‘Saya Layan Siti Bagai Permaisuri’
Oleh Farihad Shalla Mahmud
farihad@bharian.com.my
Hadiah kucupan, ungkapan cinta yang tak pernah kering di bibir membuatkan cinta mereka masih segar seperti awal perkenalan dulu
BUANGKAN segala prasangka buruk itu jauh-jauh. Terimalah dengan hati yang terbuka bahawa penyanyi popular, Datuk Siti Nurhaliza dan suaminya, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa kini sedang enak mendakap bahagia. Getar cinta mereka masih sama seperti di awal perkenalan mereka dulu.
Malah, semakin hari perasaan sayang, cinta dan kasih antara mereka semakin bercambah dan mekar umpama bungaan yang segar di taman. Mungkin akan ada yang
ceritakan di sini, namun percayalah melihat kemesraan Siti dan Khalid, sukar untuk mempercayai bahawa rumah tangga pasangan ini sedang berada di ambang kehancuran.
Kasih sayang Khalid terhadap Siti masih lagi utuh dan tanpa rasa segan atau silu, di hadapan sekumpulan wartawan Khalid mengaku yang dia amat mencintai Siti setulus hati.
“Sepanjang perkahwinan ini, kami tidak pernah bergaduh. Siti seorang isteri yang baik jadi mana mungkin saya boleh melukakan hatinya. Saya amat mencintai Siti dan saya bahagia bersamanya. Saya sayangkan perkahwinan ini dan saya akan menjaganya sehingga ke akhir hayat,” demikian pengakuan jujur Khalid mengenai perasaannya terhadap Siti.
Justeru apabila gosip mengenai kisah perceraian mereka ditimbulkan di internet serta khidmat pesanan ringkas, tidak mustahil perkara itu menimbulkan perasaan marah dalam diri usahawan terkenal itu.
“Bukannya saya tidak boleh menerima gosip kerana apabila saya memilih untuk mengahwini Siti, maka saya sudah bersedia untuk berdepan dengan segala kemungkinan. Malah sewaktu di awal perkenalan kami, ada juga wartawan yang usik saya tetapi saya tidak pernah melenting.
“Tetapi apa yang membuatkan saya marah adalah apabila gosip yang ditulis itu keterlaluan seolah-olah mendoakan yang tidak baik untuk perkahwinan kami. Harus diingat, saya seorang ahli perniagaan dan bukannya artis. Apabila timbul cerita seperti ini, kesannya sudah tentu kepada saya. Apabila saya menjalankan urusan perniagaan, saya dapat rasakan ramai yang memandang serong kepada saya seolah-olah saya seorang suami yang jahat. Saya tak mahu gara-gara gosip ini, reputasi saya tercalar,” tegas Khalid ketika ditemui pada majlis sambutan ulang tahun Siti yang ke-30 di kediamannya di Bukit Antarabangsa, malam kelmarin.
Pintanya selepas ini, jika masih ada gosip panas yang membabitkan rumah tangga, media harus merujuk kepada mereka terlebih dulu sebelum membuat sebarang spekulasi yang boleh mengelirukan khalayak.
Lebih dua tahun melayari kehidupan berumah tangga dengan Siti, Khalid berkata, dia amat bahagia dengan penyanyi nombor satu negara itu. Jadi apabila timbul gosip yang mengatakan rumah tangga mereka berantakan, perkara itu amat mengecewakannya.
“Saya melayani Siti bagaikan permaisuri. Setiap hari, selepas bangun pagi, sama ada saya atau dia pasti akan melafazkan ucapan keramat saya cintakan kamu terlebih dulu sambil memberikan kucupan. Dan itulah juga ayat yang sering kami ucapkan setiap kali selepas berbual di telefon.
“Bukan kami sengaja mahu menceritakan perkara ini sebab tak mahu orang salah sangka dan menyangkakan kami hendak menunjuk-nunjuk tetapi itulah hakikat sebenar,” ujar Khalid sambil dipersetujui Siti yang setia berada di sisinya.
Biarpun ramai yang menuding jari, menuduh suami kesayangannya itu curang, Siti menyangkal dakwaan itu sambil menyifatkan Khalid seorang lelaki yang baik dan dia tidak pernah mencurigai suaminya itu.
“Siti percaya pada suami dan Siti tidak pernah mencurigainya. Mungkin orang tak nampak apa yang kami lalui tapi jujur Siti akui, kami amat bahagia ketika ini. Dia menjaga saya dengan baik.
“Dia ibarat seorang pelindung buat Siti dan sering membelai Siti dengan penuh kasih sayang. Alhamdulillah, Siti bersyukur dengan apa yang Siti jalani ketika ini,” ujar si pelantun Bukan Cinta Biasa ini.
Sedangkan lidah tergigit, inikan pula suami isteri dan bagi Siti sendiri perselisihan faham adalah perkara biasa dalam alam rumah tangga.
“Biasalah rajuk-rajuk manja. Tapi seboleh mungkin kami akan cuba menyelesaikannya di kamar tidur. Sebelum tidur tu kita bincanglah supaya perkara itu tak melarat-larat sehingga keesokan harinya,” ujar Siti malu-malu.
Mengulas kembali kenyataannya sebelum ini yang pernah menyuarakan hasratnya supaya isterinya mengundurkan diri dalam bidang nyanyian gara-gara gosip yang menimpa mereka, Khalid berkata perkara itu bukanlah sesuatu yang muktamad.
“Saya beri saranan itu selepas kecewa dan tertekan dengan gosip yang tersebar. Bagi saya, jika kerana Siti masih dalam bidang ini membuatkan gosip tak henti-henti melanda kami jadi biarlah Siti bersara terus dari bidang nyanyian.
“Mungkin cara itu mampu menutup mulut orang ramai dari memperkatakan mengenai diri kami. Namun, apabila kenyataan itu keluar di akhbar, pagi tadi sewaktu Siti mengadakan perjumpaan bersama peminatnya, ramai antara mereka yang merayu pada saya supaya tidak meneruskan hasrat itu.
“Mereka mahu saya terus membenarkan Siti menyanyi. Dan saya faham, Siti bagaikan khazanah negara dan mempunyai ramai peminat. Mana mungkin saya boleh menyuruhnya berhenti menyanyi? Cuma luahan itu adalah kerana saya begitu tertekan dengan kata-kata orang yang tak memahami keadaan sebenar,” dedah Khalid.
Jam tangan sebagai hadiah
BERTEMAKAN rona putih dan merah jambu, kediaman mewah pasangan ini dari jauh lagi sudah kelihatan terang benderang disimbah kerlipan cahaya menandakan ada majlis sedang berlangsung.
Bukan itu saja, jumlah kereta yang diletakkan di seberang jalan juga membuktikan rama tetamu yang diundang sudah mula memenuhi ruang bagi meraikan acara ulang tahun yang ke-30 penyanyi kesayangan ramai ini.
Muncul dengan kurung moden warna merah jambu dan si suami pula mengenakan pakaian serba putih, Khalid dan Siti ramah melayan tetamu yang hadir. Hidangan enak menyelerakan terhidang di depan mata sambil telinga dihiburkan dengan persembahan nyanyian pasangan suami isteri, Azie dan Syed Sobrie.
Mencecah angka 30, barangkali bukanlah sesuatu yang indah kerana ia menggambarkan bahawa usia tua sedang menjengah. Namun perkara ini tidak berlaku kepada Siti. Malah dia menyambut kedatangan usia itu dengan hati yang terbuka.
“Bagi Siti sendiri, usia 30 adalah yang paling Siti nanti-nantikan kerana inilah usia yang melambangkan kematangan. Alhamdulillah, Siti bersyukur kerana dalam mencapai usia 30 tahun ini, Siti sudah berjaya mencapai impian apa yang Siti mahukan sebelum ini iaitu menunaikan fardu Haji bersama suami tersayang. “Harapan Siti moga tahun ini Siti akan lebih berjaya dalam kehidupan berumah tangga dan juga karier. Dikurniakan cahaya mata, rumah tangga yang aman damai dan berjaya dalam perniagaan yang bukan saja tertumpu dalam bidang hiburan tetapi juga perniagaan lain,” doa Siti di hari ulang tahunnya.
Jika tahun lalu Siti dihadiahkan kereta mewah pemberian suami tercinta, tentunya tahun ini ramai yang tertanya-tanya apakah yang bakal diterima Siti sebagai hadiah hari jadi. Tanpa berselindung Khalid memberitahu hadiah itu berupa jam tangan.
“Saya memang suka jam dan membuat koleksi jam tangan. Dan saya sudah pun membuat pilihan jam bagaimana yang ingin saya hadiahkan kepada Siti. Buatan Switzerland,” ujar Khalid sambil tersenyum.
Mengulas hadiah mewah itu, Siti berkata dalam peringkat begini, hadiah dan juga kemewahan bukan lagi sesuatu yang menjadi dambaan.
“Pada Siti cukup sekadar ingatan dan kasih sayang suami yang diberikan selama ini. Macam majlis ini pun, pada awalnya ia hanyalah sebuah majlis kecil-kecilan bersama saudara terdekat. Tetapi apabila suami kata sudah alang-alang membuat majlis, jadi itu yang kami jemput semua teman perniagaan, media dan rakan artis. “Perancangan dan perjalanan majlis ini pun semuanya dilakukan keluarga sendiri,” cerita Siti yang kelihatan cukup anggun malam itu.
Majlis itu turut dihadiri ramai rakan artis antaranya Datin Seri Tiara Jacquelina, Diana Danielle, Erma Fatima, Fara Fauzana, Raja Azmi dan Imran Ajmain.
Berita Harian
Kisah Siti Nurhaliza Dimadu
DI SANA sini orang bercerita tentang kisah yang satu ini. Masing-masing bertanya, benarkah penyanyi kesayangan mereka dimadu? Biarpun Siti telah menafikannya namun masih terdengar suara-suara nakal memperkatakan kisah suaminya, Datuk K yang didakwa telah berkahwin dengan seorang pramugari.
Jika diamati kisahnya, memang tiada langsung privacy buat seorang yang bernama Datuk Siti Nurhaliza Taruddin ini. Ada sahaja kisahnya yang cuba dikorek. Tapi Wanda percaya, Siti Nurhaliza dapat menangani setiap situasi dan permasalahannya dalam dunia seni ini dengan tenang.
Bukan sekali dua gosip melanda. banyak kali sangat. Orang kata dah lali, bagi yang kena gosip dan mendengar gosip. Bayangkan, sampaikan dia buat majlis pun orang nak kata. Dia buat majlis tertutup pun orang bercakap.
Bila dia buat sambutan meraikan sambutan ulang tahun pertama perkahwinannya secara terbuka pun orang bercakap juga.
Habis macam mana? Setiap tindak tanduknya menjadi perhatian dan setiap langkahnya diekori. Mungkin sahaja Siti bernasib baik kerana Malaysia tidak ada paparazzi.
Kalau ada, mungkin dia mahu ke tandas juga diekori seperti yang berlaku ke atas Britney Spears. Itu belum kisah aksi kejar mengejar sekadar mahu mendapatkan berita artis atau selebriti terkenal seperti di Barat.
Sehingga ada nyawa terkorban kerananya seperti kisah paparazzi yang mengejar Puteri Diana yang menyebabkan nyawa puteri kesayangan rakyat Britain itu melayang sedekad yang lalu.
Mungkin benar agaknya, sukar menjadi seorang yang bernama Siti Nurhaliza. Menjadi penyanyi tersohor, gelaran yang diberikan kepadanya itu, nampaknya turut mengheret dan memaksa Siti untuk terus diekori dan diperhatikan setiap gerak geri, langkah juga kisah-kisah peribadinya.
Tetapi sebenarnya itulah harga yang terpaksa dibeli oleh setiap daripada mereka yang bernama artis. Apalagi yang popular dan duduk pula di tangga teratas dalam senarai artis tempatan.
Sebab menjadi artis bukan sekadar mahu popular. Ada tanggungjawab yang harus dipikul dan ia juga berkenaan dengan hak-hak peribadi diri yang terpaksa dikongsi bersama khalayak. Jadi kalau rasa nak jadi artis, bersedialah dengannya!
Utusan Malaysia
Khamis, 8 Januari 2009
22 November 2008“
MACAM mana boleh timbul cerita saya baru dapat kereta dihadiahkan Datuk K. Saya tak kenal dan tidak pernah berjumpa dengannya,” kata pelakon, Rozita Che Wan mengenai gosip kononnya dia menerima hadiah kereta BMW daripada Datuk K.Katanya, dia menggunakan kereta BMW tiga siri M Sport warta putih yang dibelinya sendiri dua tahun lalu.
16 September 2008
“BOLEH dikatakan 99 peratus masa saya dihabiskan bersama Siti. Ke mana saya pergi dia pasti ada bersama,” ujar Datuk K menafikan gosip keretakan perkahwinan keduanya yang hangat diperkatakan.
18 Julai 2007 “
FITNAH seperti itu tak boleh dibiarkan kerana sudah banyak kali melanda rumah tangga kami,” kata Datuk K. Berikutan itu, dia akan mengambil tindakan undang-undang terhadap orang yang bertanggungjawab menulis dan menyebar fitnah kononnya dia memukul Siti hingga parah dan terlantar di hospital.
15 Julai 2007
Berikutan berita fitnah yang tersebar melalui SMS kononnya Datuk K memukul Siti sehingga cedera parah, beberapa wartawan ‘diburu’ polis untuk memberi keterangan berhubung kejadian terbabit.
14 April 2007
Seorang remaja memfailkan writ saman setebal 14 muka surat terhadap Datuk K kerana menahannya secara salah, mencederakan serta memfitnahnya sebagai pengedar dadah. Plaintif Muhammed Kasheef Harris Sivapatham mendakwa kejadian itu berlaku di rumah Datuk K di Jalan Wangsa 13, Bukit Antarabangsa, Ampang, Selangor, 17 Mac 2007, jam 11.30 malam hingga 1 pagi, 18 Mac 2007.
20 Mac 2007
KISAH Siti keguguran di Bali sebagaimana dilaporkan sebuah akhbar tabloid cukup menarik perhatian. Sekali gus membuat ramai yang tertanya-tanya mengapa Siti kehamilannya sebelum ini. Sungguhpun begitu, Siti pantas memberitahu cerita itu tidak benar dan berbentuk fitnah.
Harian Metro 09-01-2008
Siti rela turut kehendak suami
Oleh Norhadiani Baharomyanie@hmetro.com.my
KUALA LUMPUR: “Sebagai isteri saya harus menuruti kata suami walaupun sebenarnya belum sedia berhenti menyanyi,” kata penyanyi tersohor, Datuk Siti Nurhaliza Taruddin, 30, mengulas gosip yang melanda rumah tangganya sejak akhir-akhir ini.Siti berkata, dia belum bersedia meninggalkan bidang seni dan masih mahu berbakti kepada industri.“Bagaimanapun, saya perlu mematuhi keputusan suami jika itu dirasakan tepat dan terbaik untuk menghentikan segala fitnah ditaburkan terhadap rumah tangga kami.“Datuk K ada menyuarakan pandangan kepada saya supaya berhenti menjadi ‘public figure’ Rabu lalu, tetapi saya memujuk dan memintanya bertenang.
“Kemudian kami berbincang bagaimana cara terbaik menghentikan sebarang gosip,” katanya dalam sidang media bersama suami tercinta, Datuk Khalid Mohd Jiwa atau Datuk K di Balai Berita di sini, malam tadi.
Sejak kebelakangan ini, gosip tersebar luas di media cetak dan Internet mengenai keretakan rumah tangga mereka. Antara dakwaan yang dibuat pihak tertentu, Siti sudah memfailkan perceraian, bahkan turut menyebut Datuk K menghadiahkan sebuah kereta mewah jenis BMW kepada seorang pelakon yang juga bekas pramugari.Penyanyi yang baru melancarkan album tradisional, Lantera Timur, itu turut melahirkan simpati terhadap suaminya gara-gara gosip itu yang mencalarkan imej serta kredibiliti Datuk K sebagai seorang ahli perniagaan.Datuk K yang berada di sisi Siti pula mengakui, dia meluahkan pandangannya itu kepada Siti kerana tertekan dengan spekulasi mengenai rumah tangga mereka.“Sebelum ini, media pernah mengusik saya dalam ruangan gosip, tetapi saya tidak pernah mengendahkannya atau melenting.
Bagaimanapun, tuduhan kami bercerai sesuatu yang melampau.“Untuk pengetahuan, sepanjang perkahwinan kami tidak pernah bergaduh kerana Siti seorang yang sangat bertoleransi. Saya amat menyayangi isteri saya, saya bahagia dan gembira bersamanya.“Untuk lukakan hati dia, nauzubillah saya tidak akan sekali-kali melakukan perkara itu. Sebab itu saya tidak faham kenapa orang memfitnah saya kononnya ada ‘affair’ dengan perempuan lain sedangkan boleh dikatakan setiap masa Siti ada bersama saya,” katanya.Datuk K berkata, cerita tidak berasas yang disebarkan membuatkan dia sering menerima pandangan serong, terutama daripada golongan wanita serta peminat Siti.“Saya selalu berurusan dengan pihak kerajaan serta swasta, jadi setiap kali mengunjungi jabatan kerajaan mahupun syarikat pasti ada melihat saya dengan wajah sinikal, terutama orang perempuan,” katanya.Datuk K juga menegaskan, jika penyebaran fitnah mengenai rumah tangga mereka berterusan, dia tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang untuk mempertahankan maruahnya.“Saya akan mengambil tindakan undang-undang jika berita yang disiarkan tidak benar dan mengaibkan maruah saya.“Di sini saya merayu kepada pihak media seandainya mereka ingin menulis sesuatu berita yang diambil daripada Internet, bertanyalah kebenaran itu kepada kami terlebih dulu sebelum menyiarkannya,” katanya.
Berikut temubual wartawan dengan Siti
WARTAWAN (W): Sepanjang perkahwinan, Datuk pernah mencurigai suami?
SITI (S): Setakat ini, belum pernah kerana suami saya seorang yang jujur. Sebelum berkahwin lagi sampailah sekarang dia tidak pernah berahsia dengan saya.
W: Datuk Khalid dikaitkan dengan ramai artis wanita antaranya pelakon Rozita Che Wan, adakah Siti kecewa dan berhasrat menemui wanita yang dikaitkan dengan suami?
S: Waktu gosip dengan Rozita tersebar, Siti sebenarnya tidak kisah kerana menganggap ia satu lagi gosip yang sengaja diada-adakan. Malah, sedikitpun tiada perasaan marah pada Rozita dan tidak pernah terniat untuk berjumpa atau ingin menghubunginya kerana saya merasakan tiada apa yang perlu diselesaikan.
W: Siti langsung tidak tertekan?
S: Siti sudah lalui banyak benda dan sudah lali dengan gosip. Cuma apabila membabitkan perkahwinan, ia sangat sensitif kerana rumah tangga membabitkan perasaan dua insan, orang yang kita cintai malah, mengheret sama nama keluarga kedua-dua belah pihak. Tambah membuatkan Siti sedih, isu sebegini diperbesarkan padahal tiada apa-apa yang berlaku.
W: Bagaimana reaksi keluarga mendengar cerita seperti ini?
S: Keluarga alhamdulillah, mereka dapat menerima kerana mereka tahu gosip yang disebarkan tidak benar. Mak mentua Siti sendiri tinggal dengan Siti dan dia tidak pernah bertanyakan apa-apa kerana dia tahu bagaimana hubungan kami. Tekanan mungkin datang apabila kawan rapat dan kenalan yang asyik bertanyakan sejauh mana kebenaran cerita ini sampaikan ada yang sanggup ke rumah kami untuk melihat sendiri apa yang terjadi.
W: Siti ada mengesyaki sesiapa yang menjadi dalang menyebarkan berita tidak berasas ini di Internet?
S: Tidak baik kita mengesyaki orang. Tapi Siti sedar ramai tidak senang dengan perkahwinan kami. Entahlah, kadang-kadang itu orang yang baik dengan kita pun boleh buat cerita.
W: Bak kata orang, kalau tiada angin masakan pokok bergoyang. Begitu juga dengan gosip yang tersebar di laman web, pasti ia dari sumber tertentu. Apa komen Siti?
S: Siti akui sesetengah cerita di Internet ada kesahihannya, namun dalam hal rumah tangga kami tidak benar sama sekali. Ada pihak cuba ambil kesempatan menjadikan kami bahan untuk dipersendakan. Kami adalah mangsa keadaan.
W: Gosip ini tersebar di saat Siti melancarkan album terbaru, Lantera Timur. Barangkali ada orang terdekat sengaja mereka gosip ini untuk meraih publisiti?
S: Siti tidak pernah guna cara kotor untuk dapatkan publisiti dan itu bukan cara Siti bekerja. Bagi saya cara sebegitu sedikitpun tidak membantu melariskan jualan album, sebaliknya membuatkan orang terus lupa mengenainya.
W: Pesanan Siti kepada mereka yang menyebarkan fitnah?
S: Sudah-sudahlah, henti-hentikanlah memfitnah rumah tangga kami. Hukum memfitnah orang, besar dosanya. Benarkan kami hidup seperti orang lain. Selain itu, Siti juga mengharapkan jasa baik pihak wartawan supaya bertanyakan kesahihan sesuatu gosip kepada kami terlebih dulu sebelum menyiarkannya.